Thursday, April 4, 2013

Yusry KRU

Berdebar-debar Azman melangkah ke pelamin yang dihias cantik oleh sepupu sepapat terdekat. Sambil mengusap peluh di dahi, Azman menggenggam kuat tangan mulus milik si gadis yang sudah bertukar title ke Puan. Puan isteri. Azman menjeling Nia disebelah yang tak putus-putus menghulurkan senyum.

Sambil menghela nafas penuh kesyukuran kedua-dua mempelai kelihatan begitu berseri-seri dengan riak kegembiraan yang terpancar di wajah masing-masing. Badan yang lesu tidak memutuskan langsung semangat untuk bergaya di hadapan lensa kamera milik abang rungged yang menjadi jurugambar khas pada majlis perkhawinan Azman dan Nia pada hari ini. Kadang-kadang terdengar rungutan dari abang rungged bila pengantin lelaki seperti kelihatan kaku dan kayu. Lah, dah nama pun laki, reti pulak aku nak posing bagai mesra-mesra macam ni depan orang ramai? Aku bukan bapuk. Jerit Azman dalam hati sambil melemparkan senyum palsu.

Tiba di meja untuk makan beradap, tanjak yang dipakai Azman tersangkut di bucu juntaian kain penutup khemah, dan bergolek jatuh ke bawah. Tak sempat nak buat apa, tak sempat nak kutip, Azman terus melangkah penuh gaya dengan Nia. Alah, setakat tanjak yang jatuh, biarkan jelah. Lagipun Azman sebenarnya dah rimas memakai tanjak dari tadi.


Malam sebelumnya...

"Nah buku ajaib untuk kau", hulur Azzim kepada Azman sambil tersenyum sumbing penuh makna. Permata Yang Hilang, desis Azman dalam hati. "sudah-sudahlah kacau aku mangkuk, nervous ni buat aku tak boleh rasa nak tidur langsung". Azzim angguk, buat-buat faham. Yelah, mana lah dia ada pengalaman berkahwin. Perkahwinan Azman dan bakal kakak iparnya Nia merupakan perkahwinan dan majlis sulung dalam keluarga mereka. Azman merupakan anak sulung, abang besar kepada adik-adik yang lain.

"Sempat lagi tak kalau aku potong rambut sekarang?", sambil mata tak putus-putus mengadap cermin di sisi dan sempat lagi dia menjeling ke arah Azzim menandakan dia memerlukan jawapan kepada pertanyaan tadi dengan kadar segera.

"Alah, bagi jelah aku trim, touch up sikit. no hal. nak keluar sekarang pun dah malam, ade lagi ke kedai gunting rambut bukak?", pintas Azzim sambil menayang jam tangan yang dibeli dari Petaling Street kepada si abang. Tepat jarum jam menunjuk kepada nombor 11. 11malam, bukan 11pagi. Azman mengeluh.

"Kau betul boleh buat ni?" tanya Azman sungguh-sungguh kepada si adik. Azzim dengan rengusan terus berlalu ke bilik tidurnya dan mengambil beberapa jenis gunting. Amboi, mamat ni biar betul? Masa bila dia ada bakat terpendam jadi barber ni?


Di meja makan beradap...

Kesemua tetamu kelihatan tersipu-sipu bila memandang Azman. Azman naik hairan. Agaknya bila dah duduk dekat meja makan ni baru diorang nampak aku ni macho sikit kot berbanding atas pelamin tadi. Perasan Azman dalam hati sambil mengurut-ngurut lembut bawah dagu. Sambil makan, sambil senyum puas hati bila rata-rata tetamu tak putus-putus memberikan perhatian kepada kedua mempelai.

Ada yang mengambil gambar, ada yang terkekeh ketawa dan tak kurang juga ada yang merakam video sambil berbisik antara satu sama lain. Nia yang dari tadinya kusyuk melahap penuh nikmat lauk pengantin, terpanggil untuk memanggungkan kepala dan memandang Azman disebelah.

Purrrrrrr!!!! Tersembur nasi minyak keluar dari mulut Nia sambil tersedak-sedak.
"Kenapa rambut awak ni sayang oi???!", jerit Nia. Azman terus meraba kepala sendiri yang togel tanpa tanjak yang menjadi peneman setia sejak sejam yang lalu.

Azman mengeluh kecil bila teringatkan perbualan antara dia dan adiknya malam tadi.

"Kau tolong trim rambut aku jadi macam Yusry KRU tau", dan bila melihatkan hasil rambutnya yang compang camping membuatkan Azman menjerit kepada Azzim yang nampak sangat muka bersalah.

"Kau buat apa kat rambut aku ni Jim!!!!Ni rambut Dr. Rozmey!!! Bukan Yusry!!!!!"

Bergema ruangan kamar tidur itu dengan jeritan Azman kepada Azzim sambil Puan Kalsom, ibu mereka menenangkan Azman dengan mengatakan, rambut yang pendek di bahagian depan dan dibelah tengah itu masih lagi boleh ditutup dengan tanjak esok harinya.