Tuesday, July 23, 2013

Puasa

Sabrina berjalan mengheret langkah kaki. Peluh yang memercik ditepis kasar. Soalan "kau puasa tak?" pada setiap pagi perhimpunan di sekolah oleh rakan-rakan menjadi semakin annoying. Diorang ni tak penat ke tanya benda sama je ulang-ulang? Soal Sabrina dalam hati.

Hari tu Sabrina penat sangat. Tambahan pula selepas tamat waktu persekolahan terdapat amali solat dan ceramah yang dikategorikan oleh wajib hadir untuk semua pelajar-pelajar Tahun 6. Ceramah yang disampaikan oleh ustaz separuh usia yang merupakan salah seorang guru petugas di sekolah Sabrina itu didengar endah tak endah sahaja. Di dalam kepala Sabrina sudah terbayang air dan ais ketul. Dapat ais kepal pun best. Letak sirap banyak-banyak, susu, kacang.... Pehhh! Meleleh air liur Sabrina memikirkannya.

Sabrina pulang ke rumah dengan hanya berjalan kaki kerana jarak rumah dan sekolahnya hanya sekangkang kera. Sesampai sahaja di rumah, adik Sabrina yang baru belajar untuk berpuasa yang berumur 6tahun sedang enak meneguk air milo ais yang baru sahaja dikeluarkan dari peti sejuk.

Mengenangkan mungkin adiknya tidak tahan untuk berpuasa penuh pada hari itu, Sabrina biarkan sahaja lalu menghempas tubuhnya yang keletihan di atas sofa panjang yang terdapat di ruang tamu rumah itu. Baru sahaja Sabrina ingin melelapkan mata, Ain datang mengacau dengan tidak bersalah.

"ayong, ayong puasa lagi ke?", sambil mengiraikan rambut nya di hadapan Sabrina dengan riak muka yang seakan-akan takut-takut.

"yelah, ayong penat lah.kamu puasa setengah hari bolehlah.jangan kacau ayong", Sabrina pantas mengalihkan badannya menghadap ke dalam sofa.

"ain nak tanye ni, janganlah tidur"

"hah nak ape?tanyalah!", rengus Sabrina sedikit berang.

"kalau kentut, air sembahyang batal kan?", ain bertanya dengan polos.

"tu lah orang dah ajar banyak kali tak nak ambil perhatian,memanglah kentut batal air sembahyang! kencing ke, berak ke, pun batal jugak!", garang Sabrina menyampaikan jawapan kepada ain.

Lama Ain terdiam sebelum menyambung,







"tapi kan, Ali cakap kalau kentut pun puasa boleh batal. ayong dah kentut belum?meh la buka puasa sama-sama.."


.........................................................................................