Saturday, March 9, 2013

Hari-hari, Hari Mama

Aku ni anak bongsu yang jauh jaraknya dengan adik beradik lain. Masa aku bersekolah rendah, kedua-dua kakak aku dah berkahwin. Masuk sekolah menengah, rumah tu memang rumah aku sorang. Ya, sebab aku tak payah berkongsi dengan adik beradik yang lain. Satu-satunya abang aku yang dari dulu (bujang) hingga kini (dah jadi bapa orang) yang sentiasa bertelagah bila berada di bawah satu bumbung denganku, bekerja di Perlis semasa aku bersekolah menengah. Senang cerita, aku selalu rasa the only kid bila kesemua adik beradik aku tiada di rumah.

Aku ni manja. Manja persis anak tunggal. Yang bila pegi mana-mana dari kecil dah dididik dan dah terbiasa sorang-sorang. Rumah kakak sulungku yang dipanggil along berada di kota lumpur. Dulu sebelum kakak kedua aku berkahwin, selalu juga kami jadi babysitterkepada anak along ku. Selepas kakak kedua berkahwin, aku pula yang akan datang ke kota lumpur tapi kali ini bersendirian menjadi babysitter. Nafsu seorang anak bongsu yang sentiasa merasakan diri seperti anak tunggal satu masa dahulu meronta-ronta untuk menyayangi bayi.

Menjadi yang bongsu pada waktu kecil, yang sentiasa tak bersyukur selalu meminta perkara yang bukan-bukan. Contohnya menyoal mama setiap masa bila aku akan ber adik. Dan juga meminta mama memberikan aku seorang abang yang tuanya hanya setahun dua dari ku yang tak akan tinggalkan aku bermain di rumah sorang-sorang dan takkan makan coklat kinder bueno kepunyaanku di dalam peti ais.

Heh, mana lah aku faham. Yang aku tahu permintaan aku hendak lah diturut kerana aku terlalu bosan tiada teman. Hanya ada mama. Mama pula seorang guru tadika dimana satu masa dahulu mama merupakan seorang jururawat. Korbankan satu jawatan yang disuka kepada satu cita-cita yang dicinta. Disebabkan sejak berumur 8tahun aku sering sakit, mama korbankan pula cita-cita nyawanya dan menjadi suri rumah sepenuh masa.

Ah, tapi budak seusia itu tak pernah sedar diuntung. Masih mahu bermain dengan teman-teman sedangkan sudah punya emak di rumah. Selalu juga mama kesana kemari bersama-sama ku mencari barang-barang sekolah mahupun kertas-kertas warna, pensil warna dan pemadam-pemadam kecil yang aku perlu tibanya saat subjek pendidikan seni di dalam kelas. Subjek yang paling aku suka. Dan mama seperti menjadi p/a aku kerana mama juga suka subjek yang sama.

Sejak dari 8tahun sehingga kini, mama sentiasa ada disampingku yang rata-rata kawan sekolah menengahku sudah tahu yang aku anak bongsu, bukan anak tunggal setelah bermacam jenis kereta yang menjemput aku dari sekolah. Sekejap kereta kakak ku. Sekejap kereta mama ku. Dan bila abangku pulang bercuti ke rumah, kereta abang pula yang setia menunggu aku di luar pagar belakang sekolah untuk menjemput ku pulang.

Sehinggalah aku melangkah ke alam universiti, alam kampus, alam dimana semua muka baru yang segak-segak, cantik-cantik tetapi ada perasaan cengeng di dalam hati. Setibanya selesai urusan di kampus, petang itu juga mama dan keluarga ku yang lain meninggalkan aku. Aneh, dua hari aku tak nangis merindu.
Tapi, malam sebelumnya aku menangis. Menangis di dalam telefon mengadu bahawa aku takut untuk ke kolej ku sendiri yang terletaknya di atas bukit dimana tiada langsung lampu yang mengiringi jalan ke atas. Sudahlah MMS habis lambat, kawan-kawan yang baru click semuanya ke kampus lain. Menangis aku lebih kepada memberontak menyusahkan hati mama sendiri yang jauh dari mataku. Masa itu, langsung ku masih tidak faham seharusnya aku menyelesaikan masalahku sendiri bukan membuatkan mama susah hati.

Setelah beberapa hari, hari-hari yang dilalui penuh cekal dan tabah, aku terima satu mesej, "dah makan?" dari mama. Terus masa itu meluncur laju air mata dan air hidung yang keluar dari dalam badan aku. Sah, aku manusia normal yang reti merindu.

Tamat pembelajaran, aku suka merantau. Senang cerita, aku seorang yang jaaaaaaarang berada di rumah sejak aku menjejakkan kaki ke menara gading. Kuat berjalan. Dan kali ini memang tak perlukan teman. Dan apa yang bahagia, kalau aku pulang, aku akan nampak wajah mama. Pemandangan yang biasa ini berterusan hampir bertahun-tahun. Aku - lari jauh mana dan
Aku - pulang kepada mama.

Sampaikan aku terfikir, kejamnya aku yang selalu tinggalkan mama di rumah menungguku dan kejamnya aku yang selalu mengharapkan kesana-sini bersama kawan sedangkan aku dah punya personal assistant aku sendiri yang tak perlu bertanya untuk menjadi peneman terlebih dahulu. Sesibuk mana pun, dia akan sentiasa luangkan masa bersama aku. Kejam betul.

Selain p/a, peneman, mama juga merupakan kawan baikku sendiri. Dimana aku boleh bercerita apa sahaja kepadanya dan juga mendengar cerita. Mungkin kerana bakat dan juga sifat seorang guru, dia juga rajin berkongsi cerita. Selalu bercerita pasal nabi, pasal pengalaman menarik beliau di Mekah, pasal kahwin dan juga pasal anak. Kasar macamana pun aku, aku masih seorang anak perempuan yang wajib diberitahu tentang itu. Tentang "satu hari nanti, syurga kamu di bawah tapak kaki suami".

Mungkin kerana dibesarkan dengan suasana yang berlainan berbanding orang lain, aku susah untuk menuturkan perkataan seperti I love you dan juga I miss you kepada orang yang paling aku sayang. Mama pun begitu. Kami lebih senang menjelaskan dengan perbuatan. Tapi kadang-kadang perbuatan aku menyakitkan. Bila menjauh, hanya dalam hati sahaja mampu aku ucapkan "orang sayang mama". Aku berharap sangat kelemahan ini dapat dibaiki secepat mungkin.

Mama juga seorang tukang masak, tukang baiki paip rosak dan segala jawatan yang tak sangka mampu dijawat olehnya. Dia ibu dia bapa dan dia juga seorang pekebun luar biasa. Tengok sahaja rumah kami yang dikelilingi bunga-bunga bermacam warna. Sungguh beruntung jodohku menjadi anak mama dimana tiada satu benda yang tak mampu mama buat. Memasak, menjahit, buat kek, kuih raya, pendek kata semua benda mama 'terror'. Dari makanan, pakaian semasa kecil, kek bertingkat yang disambut semasa hari lahir, semua nya mama siapkan/lakukan sendiri. Mama serba serbi tahu.

Dan hingga kini, hampir 15tahun mama masih sendiri di rumah syurga kami dan masih menjadi peneman serta pendengar kepada keluh kecil aku yang kadang-kadang lupa hendak bersyukur kepada pencipta. Masih setia bersama. Masih teguh kesini kesana. Oh ya, mama sudah meningkat enam puluh tiga. Seharapnya biarlah mama hidup lagi lama ya tuhan? Kerana ingin aku sambut hari hari bersamanya, hari Mama. Selamat hari wanita sedunia mama, selamat hari perwira.

No comments: