"Betul kamu nak kahwin dengan Hisyam?", soal abah
tenang sambil memandang aku dengan pandangan penuh, khas untuk aku. Aku angguk
kepala sambil membalas pandangan abah. "Siapa keluarga dia?", soal
abah lagi. Langsung aku beri satu nama yang biasa sangat didengar di kampung.
Abah angguk kepala perlahan-lahan sambil berjeda sebentar.
"Siapa ayah Hisyam?"
Terus aku rasakan derauan darah di dalam badan di pam kan
secara laju ke jantung aku. Aku geleng. Laju. Tanda tidak tahu.
...............................
Pertunangan aku dengan Hisyam dilangsungkan dengan agak
tergesa-gesa. Disebabkan Hisyam yang kini bertugas tidak menentu membuatkan
kami sepakat untuk bertunang terlebih dahulu. Hisyam menjemput aku dengan teksi
di hadapan rumah sewa ku untuk sama-sama pulang ke kampung kami yang terletak
di selatan.
Dalam perjalanan pulang menaiki teksi yang disewa Hisyam,
aku tersentak mengingatkan baju tunang aku yang sudah siap berjahit tangan yang
tertinggal di rumah sewa ku. Kami berdua mengarahkan pemandu teksi untuk
berpatah semula ke arah rumah sewa ku sambil aku memegang dada, cuba
menghentikan debaran yang semakin menjadi-jadi. Aku berisghtifar di dalam hati.
Pertunangan kami berjalan dengan lancar. Selesai sahaja doa
selamat demi meraikan majlis pertunangan yang baru berlangsung, Hisyam pantas
meminta diri untuk pulang dan bersiap sedia untuk menjalankan tugasnya yang
bekerja di ibu kota. Aku dan adik beradik ku duduk berkumpul di ruang tamu
rumah kayu yang menjadi tempat berlindung kami adik beradik sedari kecil.
Menjadi tunangan kepada Hisyam membuatkan aku merasa sedikit lega kerana Hisyam
merupakan pilihan aku sendiri. Tetapi, entah kenapa, ada satu rasa sayu yang
menjentik tangkai hati sedari tadi. Rasa sayu yang aku sendiri tak mengerti.
Bukankah aku patut ketawa bahagia, kini?
Malam itu, kami sekeluarga berjemaah bersama. Usai solat
Maghrib seperti biasa, abah memulakan rutin hariannya. Memberi tazkirah,
berkongsi pengalaman dan bercerita kisah-kisah nabi kepada kami adik beradik
sementara menunggu azan Isyak dilaungkan.
Malam itu, topik yang disampaikan oleh abah ialah qada' dan
qadar. Lama aku cuba memahami setiap patah kata yang keluar dari mulut abah.
Tiba-tiba abah memandang aku dengan pandangan sayu yang membuatkan aku
tertanya-tanya. Kenapa bah?
.......................................................
Memori 39tahun yang lalu itu membuatkan aku pantas mengusir
air mata yang laju jatuh ke pipi. Rindu arwah abah yang dah tak ada. Sambil
memahami maksud yang cuba abah sampaikan kepada aku satu ketika dahulu, aku
berisghtifar. Mengingatkan setiap kejadian yang dilalui, adalah dari suratan
takdir qada' dan qadar aku. Aku percaya abah tahu sesuatu sebelum aku rasa
dengan mata hati.
Aku bingkas bangun ke dapur menyiapkan makan malam untuk Hisyam
sambil memandang Hisyam sekilas yang tidak putus-putus dengan telefon bimbitnya
- menghubungi isterinya yang lagi satu.
Rindu abah, bisik aku dalam hati. Hingga kini, perasaan
kesal tidak dapat menjawab soalan abah masih beraja di hati. Siapa ayah Hisyam?
Soalan itu bergaung di ruang kepalaku.
"hendaklah kamu mencari pilihan kamu sendiri dari keturunan yang baik-baik, keluarga yang baik-baik. Berdoa lah kepada Allah untuk menguatkan kerukunan dan kerohanian rumahtangga kamu"