Tuesday, July 23, 2013

Kemeja merah jambu

Nadia merebahkan badannya yang dibaluti baju kemeja berwarna merah jambu, warna kesukaannya. Sambil mencampakkan tudung yang membalut rambut di kepala ke lantai, Nadia meletakkan tangan kanan nya ke atas dahi. Merenung siling dan kipas angin yang berputar pada kelajuan nombor lima, kelajuan paling maksima.

Sambil memerhati putaran kipas yang laju, mata Nadia semakin memberat lalu tertutup sedikit demi sedikit sehingga Nadia betul-betul lena. Bunyi bising yang kedengaran di tepi telinga membawa Nadia hanyut kembali ke arah perbualan sebelum pulang tadi. Perbualan yang membuatkan kepala Nadia terasa berat dan berdenyut sakit.

........................................................................

Telefon bimbit canggih berwarna merah pekat kepunyaan Nadia tak berhenti-henti mendendangkan lagu nyanyian dari kumpulan Cheap Trick dengan volume yang paling kuat. Cepat-cepat Nadia menjawab panggilan seraya mematikan deringan lagu yang agak membingitkan persekitaran cubical di dalam pejabat berkeluasan sederhana itu.

Sambil bibir tak putus menguntum senyum, Nadia menjawab salam dengan hati yang senang.

"you free?", tanya lelaki di talian dengan nada suara yang seakan-akan menahan marah. "bolehlah jugak, tengah tak banyak kerja ni.kenapa awak?", perlahan-lahan Nadia menuturkan kata dengan debaran jantung di dada.

"i ada benda sikit nak tanya you"

"apa dia, tanyalah"

"siapa Syafarina?"

Soalan yang tak dijangka meletus dari mulut lelaki di seberang talian membuatkan Nadia hilang kata-kata. Kalau tadi debaran jantungnya tak menentu, kini seolah-olah ingin melonjak keluar pula dari dada. Rahsia yang selama ini disimpan rapi kini telah diketahui oleh orang yang hampir separuh mati Nadia sayang.

Setelah berjeda hampir beberapa minit dengan tangisan yang ditahan, Nadia menceritakan semuanya kepada lelaki itu. Dari mula hingga ke penghujungnya. Perkara yang paling Nadia elakkan kini sudah singgah di depan mata, menginginkan bukti dan cerita yang pasti.

Dan seperti yang dijangka, lelaki di seberang talian mengambil kata putus untuk tidak meneruskan perhubungannya dengan Nadia lagi. Gadis yang penah mengandungkan anak luar nikah kepada arwah bekas teman lelakinya dan seterusnya menghantar bayi itu kepada salah satu rumah anak yatim yang terdapat di Kuala Lumpur.

Dan Syafarina yang lahir dari rahim Nadia, telah pun meninggal semasa berusia hampir setahun tatkala Nadia ingin mengambilnya semula dari rumah anak-anak yatim tersebut. Dan kini, Nadia keseorangan lagi, menghadap masa depan yang tak pasti, dan kehilangan seseorang yang Nadia cintai.

Masa silam yang penuh hitam membuatkan ramai yang memandang serong terhadap Nadia tanpa sempat memberi Nadia apa-apa peluang untuk dia memulakan hidup baru.


Bunyi azan yang kedengaran sayup-sayup di telinga membuatkan Nadia tersentak. Nadia bangun untuk menunaikan kewajipan nya yang satu dan ingin membasahkan diri terlebih dahulu. Tudung di kepala yang sudah longgar menampakkan beberapa helai rambut membuatkan Nadia berasa hairan.

Nadia melangkah ke almari meja solek yang menempatkan cermin di situ untuk melihat tubuhnya sendiri. Kosong. Tiada pantulan imej mahupun raut wajah diri sendiri yang terpamer di dalam cermin bersaiz sederhana itu.

Nadia ingin menjerit tetapi suaranya seakan tersekat, tidak berfungsi.Seolah-olah peti suaranya kini sudah dikunci dan dia tidak dapat menggunakannya lagi. Perlahan-lahan Nadia melangkah ke katil yang menempatkan sekujur tubuh yang kelihatan tenang di dalam kemeja berwarna merah jambu.

Nadia usap wajah bujur sirih yang bersih dari segala parut jerawat itu. Sambil menoleh kebelakang setelah terdengar suara halus berbisik memanggil,

"ibu..."