Wednesday, September 4, 2013

Variasi suara dalaman

Lepas kena tegur "kamu taknak kerja ke?", aku terus tersentak. Tangan yang dari awalnya hendak mengisi air sejuk ke dalam botol kosong panjang yang bewarna biru terus pause. Statik. Bibir yang memang luka aku gigit,
perlahan. Geram.

"Ye, tahu. Memang dalam perancangan, ada cari, tapi sambil tu tunggu result yang nak keluar dulu", balas aku tenang. Mata aku tak putus-putus berkelip laju, menahan sesuatu dari keluar. Rileklah. Jangan cengeng sangat woi! Jerit aku dalam hati menggunakan suara berbunyi ganas ala slang ghetto. Ok, tak nangis lah ni.... balas satu suara lain dalam kepala. Baru aku sedar yang aku mempunyai variasi penghuni suara hati di dalam diri sendiri. Dan hampir kesemuanya suara persis jantan.

"Aku tengok kamu ni macam dah tak ada benda lain nak buat, tak bawak meaning langsung duduk dalam rumah ni", balas suara annoying itu lagi. Gruuuummmmmm!!! Bunyi motor enjin bot dan bunyi guruh berlawan volume keluar dari tepi telinga. Mulut yang comel laju je membalas dan mengekalkan ton suara lemah gemalai yang sama,

"Janganlah masuk campurkan hal kerja dengan hal result orang. Orang tahu nak buat apa".

Sayangnya, bukan itu yang keluar dari mulut comel yang melawan kehendak hati dan akal fikiran tuan sendiri. Rupanya mulut aku pun sudah pandai berfikir untuk menjawab tanpa perlu meminta izin dari aku sendiri.

"Janganlah masuk campur. Orang tahu nak buat apa, bukannya tak cari kerja.."

Hanya kerana beberapa patah perkataan yang tak terkeluar dan beberapa patah perkataan yang tak sengaja keluar, aku terus kena tengking. Dituduh melawan. Dan suara annoying itu masih berbunyi seperti petir yang bila-bila masa sahaja boleh membunuh aku yang sedang berdiri bersebelahan peti sejuk.

"Kurang ajar sangat mulut kamu tu? Apa yang kamu sumbangkan dalam rumah ni berkurung hari-hari? Nak jadi macam tunggul? Siap suruh aku jangan masuk campur??"

Kali ini, hati aku pula memberontak kuat mempertahankan diri aku sendiri. "Tak menyumbang apa-apa? Bukan ke semua benda dalam rumah ni aku yang kemaskan, aku yang masak dan aku yang buat semua benda? Salah ke aku nak ada privacy aku sendiri, duduk dalam bilik sendiri bila semua kerja rumah aku dah selesaikan?". Dan sebelum mulut aku makan diri aku sendiri dan bersetuju dengan kata hati, aku cepat-cepat melangkah ke bilik tidur. Suara petir itu pula masih beraja dan setiap derap langkah yang aku angkat, hati aku terguris...sedikit demi sedikit.

Dari pandangan sisi, aku nampak ratu aku menunduk bertentangan dengan suara petir itu. Kenapa tak bela orang? Tanya aku merintih dalam diam. Terus aku capai tombol pintu yang hampir usang dan aku kuncikan perlahan-lahan dari arah dalam. Aku menuju ke katil dan membuka laptop, menekan kekunci keyboard ke arah music dan tekan play. Playlist lagu yang sudah aku setkan ke shuffle mode, berentak sendiri mengeluarkan irama. Sesuatu yang aku tahan dari tadi, gugur laju dari anak mata setitis demi setitis. Sayu. Sunyi. Menggigil. Sendu aku luahkan, merintih.

Aku tahu aku ada tuhan untuk aku mengadu tapi aku masih rasa sunyi yang sama. Aku tepuk hati aku perlahan-lahan mengatakan ini bukan drama tv yang boleh aku peluk sesiapa sahaja untuk melepaskan tangis. Aku pandang sekeliling bilik yang berpuluh kali menjadi saksi kepada tangisan gila aku. Kalaulah dinding bilik boleh bersuara...
Kalaulah katil ini bernyawa...
Kalaulah lampu ini punya mata..

Tapi, itu semua kalau. Kalaulah boleh aku teruskan hidup tanpa perlu orang sekeliling tanya 'kenapa?'.

Bilik yang aku huni ini bukan bilik aku sendiri. Dua tahun aku berkorban memberi bilik tidurku yang sebenar yang bewarna pink purple yang aku huni sejak aku berumur 10tahun, kepada suara annoying yang kasar itu.
Almari di dalam bilik yang aku kurungkan diri ini, bukan almari aku sendiri.
Almari aku bewarna kelabu dark coklat, yang aku pilih bersama-sama ratu semasa aku di tingkatan empat.
Tangan kanan aku terus menggengam penumbuk kecil yang comel, cuba menenangkan diri sendiri yang nyaris-nyaris terbang ke kancah dendam.

Lama aku berteleku. Memeluk lutut seolah-olah itulah satu-satunya senjata yang takkan benarkan aku jatuh. Dua tahun itu dah terlalu lama. Dua tahun ini yang buat penambah luka. Kalaulah aku berani melontarkan jawapan kepada yang celaka-celaka....tapi, aku tak sanggup. Kerana, walau sejantan mana variasi suara yang ada di dalam hati, aku tetap memegang kepada budi pekerti. Budi bicara manis layaknya seorang perempuan yang sudah berumur 23tahun yang masih tiada apa-apa ini. Tiada kerjaya, dan pelajaran separuh jalan yang entah kemana. Aku tergelak sendiri mengenangkan teman-teman yang sudah punyai rezeki yang sudah melangkah jauh berlari mengejar impian diri, dan aku ketap bibir kembali mengenangkan betapa seronoknya aku berkongsi kegembiraan teman-teman tetapi pada mereka-mereka yang tertentu, aku dibandingkan tanpa henti.

Disebabkan aku hidup dalam khayalan aku sendiri, aku masih sabar hingga hari ini. Jalan yang aku pilih merupakan jalan aku sendiri. Cuma kali ini aku sudah terlampau penat menyorok dan makan hati. Bertahan menjadi mangsa buli melalui mental dan percakapan hari-hari. Penat sampai hampir-hampir terperosok dalam kubur yang aku bentangkan sendiri sebelum tiba masanya lagi. Buat aku makin berdosa.

Beg pakaian yang besar aku renung lama. Air mata yang mengalir aku tepis,



kasar.




No comments: