Tuesday, April 23, 2013

Sakit

Kali ni Isha meraung sekuat-kuatnya. Meraung sehingga hilang suara. Sedikit pun Isha tak peduli akan dada yang makin sakit. Bertubi-tubi Isha menumbuk bantal sekuat hati tanpa mempedulikan deras air yang menari laju keluar dari tubir mata. Sambil ketap bibir, Isha memanggil nama tuhan berulang-ulang kali dalam hati, pantas membuatkan Isha makin kuat meraung. Isha malu dengan diri sendiri. Bila dah sedih baru ingat tuhan. Isha pandang kosong telekung putih yang tergantung di sudut bilik itu. Dan, raungan Isha makin menjadi-jadi, "maafkan aku tuhan, aku tak mampu.. aku tak mampu untuk menghadap Engkau secela ini, aku tak mampu..".Mengongoi Isha seperti hilang nyawa sambil mengucap kuat.

Bayangan 9tahun lalu singgah di kepala Isha.


Pintu bilik tidur Isha berbunyi perlahan, tanda ada manusia melangkah masuk dari luar. Isha pantas kalihkan badan menghadap pintu. Tertera wajah umi yang masih lembut dimata Isha. Tapi kali ini, muka umi keruh. Malam sebelumnya, abang-abang dan adik Isha semua berkumpul di rumah ini. Rumah yang tidak asing lagi. Rumah sewa sang bapa.

Umi duduk di birai katil sambil merenung Isha. "kenapa mi?", soal Isha. "umi nak cakap sikit, tapi isha jangan marah dulu ye?". Permintaan umi membuatkan jantung Isha berderau. "apa dia umi, cakap jelah?", laju Isha memotong, tak mampu lagi untuk menunggu. "ayah dah kahwin lain..", serentak itu, degupan jantung yang sedari tadi berdegup kencang, bagaikan terhenti. Terbayang muka sang ayah yang dihormati. Menangis Isha teresak-esak tanpa mahu disentuh umi..

Ya. Isha memang kolot. Isha sedih sebab bagi Isha perkahwinan patut terjadi hanya sekali. Isha pedih kerana bagi Isha, umi tak layak langsung diduakan. Pekerjaan ayah membuatkan umi sering ditinggalkan sendirian sedari muda lagi malah ketika umi mengandungkan abang Isha yang sulung sehinggalah bersalin, semuanya umi hadap sendirian.

Kasih umi terlalu agung membesarkan kami adik beradik. Bila ayah bercuti panjang, barulah kami merasa ada hero. Selama ini hanya umi hero kami. Dia mendidik kami dari kecil hingga masing-masing berjaya. Seorang diri. Ayah yang hanya ada pada nama tak langsung mencacatkan keluarga kami kerana kami tahu, kami lah kekuatan umi. Jadi, kenapa ya tuhan? Perempuan sebaik umi diuji?


Bertahun-tahun Isha membekukan diri dari perasaan pedih. Bila kadangkala ayah menjenguk ke rumah, Isha hanya akan tayang muka beku. Tapi malam ini, Isha tewas. Rindukan pelukan dari sang ayah yang tak pernah Isha dapat. Rindukan ciuman di ubun-ubun kepala Isha macam selalu umi buat.

Isha dah besar yah, kenapa tarik masa remaja Isha? Tak sempurna rasa ni yah, kenapa yah?


Sambil mengongoi, Isha keluarkan telefon bimbit dan mencari satu nama di antara senarai nama yang terdapat di dalam telefon. Pecah lagi tangisan Isha kerana Isha tahu apa yang dihajati, tak mungkin akan Isha miliki. Dirinya sopek, capik dengan kasih sayang yang dia tahu dia tak akan dapat. Dirinya lompong kerana tak pernah merasa menjadi daddy's little girl sejak kecil. Rindu dendam yang ada dalam hati yang tidak pernah terluah, Isha pujuk perlahan-lahan sambil menepuk dada. Isha pejam mata, rapat.

No comments: