Friday, July 26, 2013

Pocong

Malam itu suasana aman dia lain macam betul. Angin mendayu-dayu bagaikan ingin menolong diri yang sedia perasan untuk membuaikan rambut persis iklan syampu. Aku makan dengan agak bersungguh memandangkan memang sudah lama benar teringin nak makan ayam masak gulai lemak cili api. Bezanya kali ini, bila diri sendiri yang buat, jumlah cili api yang ditumbuk bersama kunyit hidup membuatkan diri terasa puas. Biar orang lain takut nak makan sebab pedas, asalkan aku tahu aku mampu habiskan!

Sambil berbuka, sambil jeling jam, sambil intai pintu tandas yang kosong tak ada orang. Aku risau kalau aku makan banyak sangat, Maghrib aku jadi tak sempurna. Tapi kalau tak makan, masih juga tak sempurna sebab terngiang-ngiang ayam kaler hijau dalam periuk tu menari liak lentok ala-ala menggoda. Aku memujuk diri sendiri dan juga sejenis kerongkong ataupun anak tekak supaya bersabar. Tak lari ayam yang dah mati dalam periuk dikejar.

Setelah selesai urusan wajib, aku mula ke meja makan kembali. Menghidu bau kuah gulai. Sambil menggosok perut yang agak timbul, (kikiki) aku menuju ke arah bilik ibu.

"pegi terawih tak?orang dah siap ni"

"tak larat, pegi sorang ye?", balas ibu sambil teruskan bacaan Al-Maksurat nya yang terganggu.

Aku pun melangkah keluar dengan senang hati sambil menendang penyendal kaki. Aku memulakan enjin dan terus bergerak seperti dibawa terbang oleh sang angin. Sampai di satu selekoh kecil yang memang gelap kerana lampu jalan yang tak pernah dibaiki, sekumpulan anak kecil yang seperti bermesyuarat dikelilingi basikal masing-masing tiba-tiba menjerit ke arah aku.

"Hantu!!!! Hantuuu!!!", bertempiaran semua berlari meninggalkan basikal masing-masing. Aku pun mula cuak dan menjeling side mirror kiri dan kanan. Gelap. Tiba-tiba aku seperti ternampak sekali imbas kain terbang berwarna putih.

Aku panik dan memandu dengan agak laju. Aku press pemutar minyak di tangan kanan sehabis yang mungkin. Lagi aku melaju, lagi objek berwarna putih seakan-akan mengikuti aku. Berpeluh-peluh aku seperti hendak menangis dan terus berisghtifar dalam hati. Sesampai sahaja di surau, aku terus mematikan enjin motosikal dan mengurut dada berulang kali. Pengalaman ngeri diikut hantu di bulan puasa membuatkan aku membisu sendiri sampailah anak jiran yang kebetulan hanya beberapa saat sampai di surau selepas aku menegur,

"oi ape laju sangat kau bawak motor?"

"kau dengar tak tadi budak-budak tu ada jerit hantu?"

"aah. lepas tu diorang lari. hantu betul kau ni"

"eh apa pulak?aku pun nampak.betul weh.warna putih, ikut motor aku"

"kau lah hantu bengong! kau lalu jalan gelap tu pakai telekung naik motor. semua orang nampak kau macam pocong terbang dari jauh!lagi satu, bulan puasa, hantu setan dah kena ikat", berdekah-dekah anak jiran ketawakan aku sampai beliau berlalu meminta izin untuk mengambil air sembahyang yang telah terbatal di dalam surau.

Rupanya objek berwarna putih yang mengikuti aku dari belakang tadi ialah kain telekung berterbangan yang dipakai aku sendiri.